CUBA periksa lesen memandu anda.

Adakah ia sudah tamat tempoh atau menghampiri, tarikh pembaharuan lesen tersebut?

Jika ya, pastikan anda renew lesen itu bagi memudahkan urusan di masa hadapan.

Tapi tahukah anda, urusan menghidupkan lesen memandu kenderaan kini lebih mudah selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa urusan itu boleh dilakukan secara dalam talian!

Ya, untuk makluman, pembaharuan lesen memandu secara dalam talian ini sudah mula dibuka pada 16 Oktober lalu.

JPJ telah memperkenalkan sistem pembaharuan ini selaras dengan #NormaBaharu dan misi ke arah mendigitalkan perkhidmatan sedia ada jabatan tersebut.

Mungkin ada sesetengah individu yang sudah tahu perkara ini, namun jika tidak, pasti timbul persoalan dan kekeliruan mengenai cara-cara menghidupkan lesen memandu menggunakan kaedah itu.

Jangan risau, kami cuba bantu anda untuk memahami serba sedikit, kaedah renew lesen memandu kenderaan... secara dalam talian.

1. Daftar akaun MyEG

Daftar akaun MyEG

Untuk makluman, buat masa ini pembaharuan lesen memandu dalam talian boleh dibuat menerusi laman web www.myeg.com.my

Jadi, perkara pertama adalah anda perlu mendaftar bagi memudahkan urusan tersebut.

Caranya mudah sahaja, pergi ke laman web berkenaan, kemudian tekan ‘DAFTAR’ dan isi segala butiran seperti yang diminta.

2. Pilih perkhidmatan yang disediakan

Pilih perkhidmatan disediakan


Selepas selesai urusan mendaftar, anda akan dibawa ke halaman utama laman web tersebut.

Di bahagian ini, anda dapat lihat beberapa perkhidmatan yang ditawarkan laman berkenaan, antaranya JPJ, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, zakat dan lain-lain lagi.

Bagi urusan renew lesen memandu, terus tekan pada logo atau ikon JPJ untuk ke bahagian menu jabatan berkenaan.

3. Pilih bahagian Perbaharui Lesen Memandu (CDL)

Pilih bahagian 'Perbaharui Lesen Memandu (CDL)'


Seterusnya, tekan pada pilihan “Perbaharui Lesen Memandu (CDL)” dan isi segala maklumat pengguna seperti yang tertera di laman berkenaan.

Di bahagian ini, anda boleh pilih sama ada lesen baharu itu akan diserahkan menerusi penghantaran pos.. atau boleh juga mengambilnya sendiri di pejabat yang ditetapkan.

4. Proses pembayaran

Isi maklumat yang diminta


Anda akan dibawa ke bahagian ‘Maklumat Pembayaran’ dan boleh terus ke proses pembaharuan dengan membayar caj yang dikenakan menerusi pembayaran secara dalam talian.

Tapi sebelum membuat pembayaran, pastikan maklumat yang anda isi adalah tepat supaya tidak menjejaskan proses penyediaan lesen memandu tersebut. Kalau ada kesilapan, anda juga yang rugi nanti.

Selepas pembayaran selesai, adalah dinasihatkan mencetak atau ‘tangkap layar’ resit dan simpan sebagai rujukan, secara tak langsung membantu anda jika timbul sebarang masalah.

Selesai. Mudah bukan? Tanpa perlu mengambil nombor giliran dan beratur panjang, anda boleh memiliki lesen yang telah diperbaharui itu dan paling penting, ia dihantar terus kepada anda mengikut alamat yang dipilih.

PENTING!

Hah satu lagi... untuk pengetahuan anda, kebiasaannya proses penyediaan dan pemprosesan lesen memandu baharu ini  akan mengambil masa dua hari waktu bekerja.

Contohnya, kalau anda buat pada hari Jumaat, lesen baharu itu akan siap pada hari Rabu.

Caj yang dikenakan

MyEG akan menghantar lesen baharu anda berdasarkan alamat yang anda berikan. Hantaran dalam kawasan Lembah Klang dikenakan caj sebanyak RM6.00, Semenanjung Malaysia (RM8.00) dan RM10.00 bagi Sabah dan Sarawak.