BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan perkhidmatan kaunter pandu lalu ke seluruh negara bagi memudahkan pengguna berurusan dengan jabatan berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, antara perkhidmatan ditawarkan menerusi kaunter pandu lalu adalah pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, menukar lesen memandu percubaan (PDL) kepada lesen kompeten (CDL) serta pembayaran saman.

Katanya, perkhidmatan yang ketika ini ditawarkan di Pulau Pinang dan Sabah itu akan diperluaskan ke Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Ia kemudian akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat berikutan kejayaan memudahkan urusan pelanggan selain mengurangkan kesesakan di pejabat.

"Kaunter pandu lalu ini lebih memudahkan pelanggan membuat transaksi singkat, mereka tidak perlu lagi hendak mencari parkir, perlu berhujan, sudah tidak payah beratur, duduk  dalam kenderaan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, katanya JPJ juga akan menyediakan 100 unit kiosk yang mesra orang kurang upaya (OKU) ditempatkan di pejabat JPJ seluruh negara.

Beliau berkata, fokus jabatan itu kini ke arah pendigitalan bagi kesemua urusan dalam usaha menawarkan perkhidmatan di hujung jari termasuklah pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan yang boleh dibuat di rumah.

Zailani berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Khas dan Pelancaran Kaunter Pandu lalu JPJ Pulau Pinang, di Seberang Jaya dekat sini, pada Jumaat.