KUALA LUMPUR: Masih belum terlambat untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang memangku jawatan masing-masing pada waktu ini.

Kenyataan itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang menegaskan, Ismail Sabri boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet pada saat-saat akhir.

Tambah beliau, perkataan “pecat menteri” yang diungkapkan Perdana Menteri baru-baru ini, walaupun gurauan dan sinikal, tidak perlu disuarakan dalam program politik.

“Memang kita tahu Perdana Menteri mempunyai kuasa “hire and fire”, namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal.

“Kami masih teringat dua orang menteri UMNO yang letak jawatan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan dulu.

“Kami masih lagi anggota Kabinet “caretaker”. Masih belum terlambat untuk dipecat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam masa sama, Abd Latiff turut berkata, pembubaran Parlimen tidak pernah dibincangkan antara Ismail Sabri bersama anggota Kabinet yang lain.

Kata beliau lagi, Ismail Sabri disifatkan berteka-teki dalam memberikan tarikh mengenai pembubaran Parlimen.

“Malah pada pagi Jumaat, 7 Oktober 2022, seorang menteri kanan bertanyakan ‘bila nak bubar’? Perdana Menteri kesembilan itu masih berteka-teki dengan anggota kabinet lain.

“Jika Perdana Menteri menyatakan hasrat membubarkan Parlimen secara terus terang dan ikhlas, saya percaya anggota Kabinet akan bersetuju dan memberi mandat kepada beliau,” ujar Abd Latiff lagi.