BACHOK: Seorang warga emas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat ditikam anaknya yang mempunyai masalah mental dalam satu kejadian amuk di sebuah rumah berhampiran Pasar Bachok, di sini pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Mohamad Ismail Jamaluddin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 11.11 pagi.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal, mangsa seorang pesara kerajaan berusia 66 tahun telah dimarahi dan dipukul menggunakan tangan oleh suspek kerana membiarkan seorang cucunya yang berusia empat tahun menangis.

"Seorang lagi cucu mangsa berusia 16 tahun cuba menghalang tindakan suspek itu namun tidak berjaya. Suspek yang berusia 28 tahun kemudian pergi ke dapur mengambil sebilah pisau dan menikam bapanya beberapa kali pada bahagian kepala.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian leher kanan, bahagian atas kepala, telinga sebelah kiri, tapak tangan kiri dan calar pada lengan sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Ismail berkata susulan kejadian itu, seorang lagi anak lelaki mangsa kemudian telah membawa bapanya itu untuk rawatan di Klinik Kesihatan Bachok dan mangsa dilaporkan stabil.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak lima tahun lepas dan akan mengambil ubat setiap enam bulan.

"Sebilah pisau ukuran lebih kurang 20 cm yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu telah dirampas. Saringan air kencing suspek juga didapati negatif sebarang dadah.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA