KUALA LUMPUR: "Menerima mesej daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai statistik kes harian COVID-19 membuatkan saya berasa takut dan berdebar."

Itu perkara paling mendebarkan yang diluah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila ditanya mengenai pengalaman setahun menjadi individu penting dalam menguruskan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Apatah lagi, kata beliau, lebih menakutkan apabila kes harian dan kematian direkodkan pada angka tinggi pada hari tertentu.

"Sudah tentu sayalah paling takut kerana ia melibatkan tugas saya juga untuk melandaikan (rantaian) COVID-19.

"Jadi kalau anda tanya pengalaman menakutkan (adalah berkaitan) melihat mesej yang mengatakan kes harian dan kematian meningkat pada kadar yang tinggi.

"Ini susah untuk saya lupakan," katanya dalam sidang media khas sempena setahun Malaysia Prihatin, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menganggap tugas untuk melandaikan jangkitan COVID-19 sebagai tanggungjawab besar yang diberikan beliau.

Malah, figura yang pernah tular dengan mengenakan pelbagai jenis baju batik ketika tampil hampir setiap hari di kaca televisyen dalam menyampaikan maklumat terkini berhubung prosedur operasi standard (SOP) sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 menyifatkan sudah berada lali dengan tomahan dan kata-kata negatif yang dilontarkan netizen.

"Pelbagai pengalaman saya dapat, baik yang memuji mahupun tidak. Mereka yang menyokong kita, walaupun saya memakai baju tidak betul, baik juga di mata mereka.

"Sebaliknya, mereka yang tidak menyokong, pelbagai perkara dibangkitkan.

"Saya ada juga baca komen-komen netizen dan ada yang kita ambil sebagai usaha tambah baik terhadap SOP yang ditetapkan," katanya.