KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 turut memberikan kesan terhadap keharmonian isi rumah sehingga membawa kepada penceraian.

Menyedari hakikat itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarkat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mewujudkan Talian Bebas Helpline Familycare@ LPPKN yang menyediakan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian khusus bagi membantu individu yang berhadapan dengan masalah rumah tangga.

Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Harun, pihaknya memahami kesukaran bagi pasangan mengekalkan keharmonian rumah tangga dan mendapatkan bantuan kaunseling berikutan beberapa faktor.

"Sebelum kahwin bagi pasangan muslim mereka ada kursus praperkahwinan tetapi ia lebih kepada teori dan realiti sebenar hanya diketahui selepas memasuki alam perkahwinan.

"Kita tahu dalam waktu PKP ini semua orang duduk di rumah sehingga boleh menimbulkan masalah jadi kita hendak bantu mereka dan beritahu ada penyelesaian untuk mereka meluahkan masalah mereka," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Perkhidmatan tele-kaunseling dan e-kaunseling diberikan secara percuma melalui tol bebas 1-800-82-0300 dari Ahad sehingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang.

Beliau berkata, individu yang berhadapan dengan sebarang isu rumah tangga boleh bercakap dengan kaunselor profesional LPPKN melalui talian tersebut tanpa perlu bimbang kerana rahsia serta maklumat peribadi dirahsiakan.

LPPKN melantik seramai 18 orang kaunselor keluarga bertauliah dan mempunyai kredibiliti dalam bidang psikologi bagi menyantuni klien secara dalam talian.

"Talian Helpline FamilyCare membolehkan masalah dikongsikan secara profesional serta membimbing klien dalam mengambil keputusan selanjutnya," katanya lagi.

Tambah Rina lagi talian yang diwujudkan sejak 30 Oktober lalu itu telah berjaya menyelesaikan 640 kes.