CYBERJAYA: Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 mula beroperasi hari ini bagi membantu individu yang menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan awal.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang menghubungi sendiri talian berkenaan berkata operator yang mengendalikan perkhidmatan itu telah dilatih dengan baik bagi membantu pemanggil.

"Mereka diberi latihan supaya dapat kesan pemanggil itu dalam keadaan emosi berdasaskan intonasi (suara) serta menenangkan pemanggil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Khairy berkata talian dikendalikan Pegawai Psikologi (Kaunseling) Kementerian Kesihatan (KKM) itu ketika ini beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum, dengan waktu operasi mungkin ditambah baik pada masa depan.

Beliau berkata talian lima digit itu adalah penambahbaikan kepada Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang menawarkan bantuan sokongan emosi dan psikososial kepada individu yang terkesan.

Menurutnya trend peningkatan masalah kesihatan mental kini merupakan isu global dan telah dikenal pasti sebagai satu cabaran besar kepada sektor kesihatan.

Situasi di Malaysia katanya amat membimbangkan apabila berlaku peningkatan ketara kes bunuh diri iaitu 1,142 kes pada 2021 berbanding 631 kes pada tahun sebelumnya.

Mengenai penubuhan NCEMH, beliau berkata pusat kecemerlangan itu akan dapat meminimumkan jurang perkhidmatan dan mempertingkatkan perkongsian sumber kepakaran kesihatan mental menerusi gabungan pakar-pakar melalui pendekatan bio-psikososial dan aspek kerohanian.

Pengoperasian NCEMH melibatkan seramai 54 anggota yang terdiri dari pelbagai profesion.

"Pusat ini juga akan menjadi pusat rujukan setempat dan latihan termasuk proses akreditasi dan pembuktian kelayakan (credentialing) program kesihatan mental," katanya sambil menambah, NCEMH akan menjadi platform mempertingkatkan kolaborasi strategik dengan agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Sementara itu, Khairy berkata satu hab pengkalan data kesihatan mental (Mental Health Hub) melalui platform digital akan diwujudkan bagi memperkukuhkan aktiviti survelan kesihatan mental.

-- BERNAMA