KUALA LUMPUR: Hujan lebat sekitar Lembah Klang termasuk di Shah Alam pada petang Isnin menyebabkan air naik di Taman Sri Muda.

Situasi di kawasan tersebut tular di media sosial selepas satu rakaman video memaparkan beberapa tempat di kawasan itu mula dinaiki air pada petang tadi.

Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi tersebut bagi memantau keadaan.

Hasil pemantauan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, air sudah mula surut dan banjir itu berpunca daripada longkang tersumbat.

"Setakat ini tiada yang diminta untuk ke Pusat Penempatan Sementara (PPS)," katanya menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, hujan lebat dan angin kuat pada petang Isnin menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang berlaku di ibu kota.

Antara lokasi terjejas ialah Wangsa Maju, Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak, jejantas MRR2 Ampang, Setapak dan Jalan Padang Tembak.

Seramai 34 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur digerakkan ke lima lokasi tersebut.

JBPM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kelima-lima insiden tersebut meskipun terdapat enam kereta dihempap pokok tumbang.

Operasi mengalihkan pokok juga sudah selesai dan kini hanya tinggal kerja-kerja kecil seperti mengalihkan serpihan dahan dan membersihkan jalan.

Berikut merupakan lokasi pokok tumbang di sekitar Kuala Lumpur:

1) Berhampiran SK Wangsa Jaya, Wangsa Maju

- Pokok tumbang menghalang lalu lintas. Pokok tumbang menghempap sebuah kereta dan tidak melibatkan mangsa

2) Lebuh Raya Karak sebelum Plaza Tol Gombak

- Pokok tumbang menghalang lalu lintas. Pokok tumbang menghempap sebuah kereta Perodua Myvi dan tidak melibatkan mangsa

3) Berhampiran jejantas MRR2, Ampang

- Pokok tumbang menghalang lalu lintas. Tidak melibatkan mangsa dan harta benda.

4) Belakang Medan Selera PSN Rejang, Setapak Jaya

- Pokok tumbang menghalang lalu lintas. Pokok tumbang menghempap dua buah kereta iaitu jenis BMW dan Proton Persona. Tidak melibatkan mangsa.

5) Jalan Padang Tembak

- Pokok tumbang menghalang lalu lintas. Pokok tumbang menghempap dua kereta iaitu jenis Toyota Alphard dan Toyota Estima. Tidak melibatkan mangsa.