MALAYSIA
Azman Hashim rai ulang tahun ke-86 dengan konsert istimewa sempena 50 tahun AmBank

Azman menghiburkan lebih 600 penonton sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-86 dan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan AmBank Group di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu.
KUALA LUMPUR: Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bergema dengan alunan lagu-lagu klasik dan penuh nostalgia apabila Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim menghiburkan lebih 600 penonton sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-86 dan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan AmBank Group, pada Rabu lalu.
Konsert bertemakan “Azman Hashim in Concert 2025” menyaksikan tokoh perbankan negara itu mendendangkan lebih 15 lagu malar segar seperti Cry Me A River, Tunggu Sekejap, At Last, Ibu, The Way We Were, Sway, My Way dan Getaran Jiwa, yang diiringi Orkestra Simfoni Universiti Malaya (UM) di bawah pimpinan Profesor Dr Nasir Hashim.
Turut memeriahkan pentas ialah tiga pemenang pertandingan nyanyian AmBagus anjuran Kelab AmBank Group – Meng Xuan Ching (juara), Julaiha Nor Hassan (naib juara) dan Julfahmi Iman Herman (tempat ketiga) – yang menyampaikan beberapa persembahan bersama Azman.


Konsert bertemakan “Azman Hashim in Concert 2025” menyaksikan tokoh perbankan negara itu mendendangkan lebih 15 lagu malar segar.
Azman merupakan satu-satunya pengasas bank tempatan yang masih aktif di Malaysia, menerajui Kumpulan AmBank sejak ia ditubuhkan pada tahun 1975.
Beliau dikenali bukan sahaja sebagai tokoh korporat, malah sebagai individu yang berbakat besar dalam bidang seni persembahan.
Konsert selama hampir tiga jam itu turut dihadiri Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Md Nor Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jamie Ling; ahli-ahli Lembaga Pengarah AmBank, pelanggan-pelanggan utama, rakan niaga serta wakil media.
Sambutan rasmi ulang tahun ke-50 penubuhan Kumpulan AmBank dijadual berlangsung pada 5 Ogos 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami