Tanah runtuh Batang Kali: 'Air membuak-buak di kawasan galian' - Bomba

Fareez Azman
Disember 21, 2022 03:25 MYT
Keadaan tanah yang berair juga menyukarkan kerja-kerja menyelamat dijalankan. - Foto Facebook/JBPM
HULU SELANGOR: Pasukan mencari dan menyelamat berdepan situasi cemas apabila usaha penggalian di kawasan lokasi tanah runtuh membawa kepada kemunculan anak air yang menyukarkan operasi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, keadaan terbabit berlaku di kawasan mayat mangsa ke-25 ditemui.
"Semalam pada hujung hari tengah malam kita dah jumpa pada pukul 10.49 malam, selepas daripada itu kami 'stand down' kita korek dalam 16 meter air membuak-buak keluar, sebab itu kami tangguhkan operasi.
"Jika kita kekalkan lebih 100 orang (anggota SAR) di situ akan bawa kecelakaan," jelasnya.
Tambahnya, keadaan tanah yang berair juga menyukarkan kerja-kerja menyelamat dijalankan, malah jengkaut terpaksa menggunakan batang-batang pokok sebagai laluan kerana keadaan selut yang tebal.
"Hari ini kita akan pasang dan letak pasukan pegawai keselamatan untuk tengok pergerakan tanah, kita akan bunyikan siren di mana pasukan kena keluar daripada kawasan tersebut.
"Saya harap semua bersabar dan kita akan dapat jumpai semua, hari terakhir kita beroperasi kita dapat laksanakan tugas dengan baik," jelasnya.
Mengulas mengenai tempoh operasi mencari dan menyelamat tambahnya, perbincangan akan dilakukan oleh semua pihak sebelum satu keputusan dibuat.
Setakat ini, operasi SAR diteruskan selama tujuh hari.
#Tanah Runtuh Batang Kali #Father's Organic Farm #detik cemas #kemunculan anak air