HULU SELANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan plot lokasi 30 mangsa yang ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali di sini pada Jumaat.

Mengikut plot yang diberikan kepada media, 19 mangsa ditemui di sektor A (Hill View), manakala 10 mangsa ditemui di sektor C (River Side), dan seorang mangsa ditemui di sektor B (Farm View).

Sementara di sektor D, iaitu Green House, tidak menjumpai mana-mana mangsa yang terlibat.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki di sektor C sedang dijalankan pasukan SAR.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Hari ke-8, pencarian mangsa terakhir diteruskan

Memasuki hari kelapan, beberapa jengkaut dilihat keluar daripada lokasi kejadian, begitu juga unit pengesan anjing K-9.

Plot lokasi mangsa ditemui.

Pada sebelah pagi, keadaan cuaca baik dan cerah, bagaimanapun menjelang jam 5 petang, hujan mulai renyai.

Sehingga kini, 30 mangsa disahkan terkorban dalam kejadian sejak Jumaat lalu, seorang lagi mangsa masih hilang, dan 61 lagi mangsa disahkan selamat.