KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menafikan memberi kebenaran kepada mana-mana pasukan sukarelawan atau individu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali.

Agensi berkenaan dalam satu kenyataan berkata, penafian berkenaan susulan tular gambar sekumpulan sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa dibenarkan memasuki tapak bencana tanah runtuh pada 16 Disember lalu.

"JBPM Selangor menafikan ada memberi sebarang kebenaran dalam apa juga bentuk kepada mana-mana pasukan sukarelawan awam atau individu untuk menyertai operasi.

"Ini selaras arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) iaitu hanya anggota dan agensi menyelamat yang terlatih dibenarkan berada di kawasan operasi zon merah," demikian menurut kenyataan tersebut pada Isnin.

LAPORAN KOMPREHENSIF TANAH RUNTUH BATANG KALI DI SINI

JBPM Selangor menambah hanya lima agensi utama diberikan kebenaran untuk menyertai operasi SAR.

Ia melibatkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Pasukan Mencari & Menyelamat Khas Malaysia (SMART); serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jelas JBPM Selangor lagi, tiga aspek utama diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran serta kecergasan.

"Keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana masih lembut dan jika hujan berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran di kawasan runtuhan.

"Keadaan ini memerlukan kepekaan dan latihan khusus serta kesediaan kita menghadapi situasi sukar dan tidak dijangka. Oleh sebab itu kemahiran anggota diperlukan, selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di lokasi kejadian," kata JBPM Selangor. 

Operasi SAR yang memasuki hari keempat bersambung hari ini bagi mencari sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

Setakat tengah hari ini, 24 mangsa dilaporkan terkorban, sementara 61 individu terselamat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.

Pada 17 Disember lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata operasi SAR hanya diketuai JBPM, dan tidak sesuai bagi orang awam untuk membantu operasi.

Sehubungan itu, sukarelawan dan NGO tidak dibenarkan berada di lokasi operasi SAR di Batang Kali.