HULU SELANGOR: Terdapat dua aliran air dikesan di lokasi kejadian sebelum tanah runtuh berlaku.

Demikian jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media sebentar tadi.

Jelasnya, bagaimanapun siasatan akan diteruskan oleh pihak berwajib.

“Saya dimaklumkan terdapat dua aliran air di bawah tanah, ini dapatan awal pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak Jabatan Tanah dan Galian.

"Bagi pihak kerajaan, kami ingin meminta kepada semua, pada musim cuti sekolah ini mana-mana kem perkhemahan sama ada di atas bukit atau tepi sungai agar dapat mengosongkan (premis) sementara waktu,” jelasnya.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, rakyat perlu mengelakkan daripada bercuti di kawasah berbahaya agar kejadian sama tidak berulang.

“Di sungai-sungai umpamanya... walaupun sekarang selamat tetapi MetMalaysia menjangkakan hujan lebat akan bermula esok.

“Hujan lebat yang berlaku akan mengakibatkan aliran arus sungai dari kepala air akan melanda kawasan pertengahan dan hulu sungai. 

“Maka, belajar daripada apa yang dialami di sini. Saya harap ibu bapa, guru-guru, murid-murid yang ingin bercuti, saya nasihatkan agar kosongkan tempat itu bagi menentukan tidak ada lagi kejadian seperti ini berlaku.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat akan terus memantau bersama ketua agensi di tempat ini dan kita akan memaklumkan pihak media,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian pada Jumaat.

Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira satu jam mendengar taklimat dari Pasukan Mencari dan Menyelamat.