Meskipun telah dilatih untuk berhadapan pelbagai situasi, namun kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor pada Jumaat lalu, lain daripada kebiasaan.
Bagi salah seorang anggota mencari dan menyelamat yang enggan dikenali yang turut berkongsi rasa dengan Astro AWANI berkata, keadaan fizikal kawasan runtuhan begitu mencabar disebabkan faktor keadaan tanah yang licin serta berlumpur serta cuaca yang tidak menentu.
"Situasi kawasan bencana memang merumitkan kerana tanah licin dan banyak kenderaan musnah akibat tanah runtuh tersebut," katanya.
Meskipun kurang 10 tahun pengalaman berdepan bencana, namun bagi Saiful (bukan nama sebenar), tragedi kali ini benar-benar mencabar fizikal dan mental setiap anggota petugas operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Ini pengalaman paling besar, saya pernah bertugas kejadian tanah runtuh sebelum ini, rumah runtuh pun ada, tapi ini kejadian melibatkan kematian yang banyak.
"Rasa sebak pun ada, walaupun bertugas. Namun, kami kena cekal, ini tugasan kami untuk membawa keluar mangsa-mangsa yang hilang," katanya ketika didekati Astro AWANI.
PASANG NIAT SETIAP KALI JEJAK LOKASI INSIDEN
Setiap kali memasuki lokasi pencarian, jelasnya, niat disimpulkan agar dapat menemui mangsa-mangsa yang masih hilang.
"Harap-harap dapat jumpa (mangsa), kami berniat harap-harap dapat jumpa, niat begitu setiap kali masuk, kerana kita hendak selesaikan operasi ini," katanya lagi.
Saiful merupakan antara petugas yang berjaya menemui beberapa mayat mangsa di lokasi kejadian sejak hari pertama tragedi yang menimpa 94 individu pada awal pagi Jumaat lalu (16 Dis 2022).
Menurutnya, setiap penemuan seolah-olah menjadi penyuntik semangat buat beliau dan rakan-rakan dalam operasi SAR berkenaan.
"Betul bang, bila dapat jumpa, motivasi kami terus melonjak," katanya, ringkas.
Cuaca tidak menentu juga antara cabaran utama pasukan SAR, jelasnya. Setiap kali selesai melakukan tugasan, ada masanya suhu terlalu sejuk sehingga ada antara mereka menggigil.
"Sejuk itu memang sejuk, kadang-kadang bila dah habis operasi baru rasa menggigil," tambahnya.
Ketika ini, usaha mencari tiga lagi mangsa masih diteruskan di sektor C dan A.
Pada Khamis, empat mayat mangsa dijumpai di sektor C pada Khamis, menjadikan angka korban meningkat kepada 30 orang ketika ini.
BACA: Empat mayat mangsa ditemui kedalaman 7 meter - Polis