BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini diperhebatkan bagi mengesan baki mangsa yang masing hilang.

Selain daripada penggunaan jentera besar, ‘penampilan’ anjing daripada unit pengesan (K9) pada operasi kali ini dilihat sebagai tunjang utama kepada penemuan mangsa - sama ada terselamat atau terkorban.

Daripada tiga ekor anjing K9 dikerahkan ke lokasi kejadian, peranan ‘penghidu mangsa’ itu digandakan kepada tujuh ekor pada hari kedua operasi SAR.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Selangor), Datuk Norazam Khamis, tujuh ekor anjing terlatih berkenaan masing-masing daripada JBPM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kesemua anjing K9 ini mempunyai kepakaran dalam mengesan mayat yang tertimbus di dalam tanah, di bawah batuan atau air,” katanya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, pemerhatian Astro AWANI mendapati beberapa ekor anjing K9 dilihat dibawa turun dari lokasi pencarian sekitar petang tadi.

Setakat ini, tiga mayat ditemukan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban meningkat kepada 24 orang.

Sementara itu, sembilan lagi individu dikhuatiri masih hilang.

Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat, runtuhan tanah dianggarkan membabitkan sebanyak 450,000 meter padu tanah.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Satu mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, angka korban 24

Selain itu, ia turut membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu (m³) dengan dimensi tanah runtuh di kawasan berkenaan membabitkan kawasan sepanjang 500 meter, 200 meter lebar dan sedalam lapan meter.

Seramai 135 petugas SAR yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.