MELAKA: Tindakan pihak tidak dikenali yang didakwa melancarkan tabung sumbangan bagi meringankan beban mangsa tregedi tanah runtuh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Tai Seng Fui, 62, berkata, setakat ini anaknya, Chang Lin, 35; menantu, Yu Siew Pay, 34, dan dua cucunya masing-masing berusia empat serta tujuh tahun masih belum ditemui.

Namun menurutnya, ahli keluarganya mengesan aktiviti mengutip dana di media sosial untuk upacara sembahyang mangsa insiden tanah runtuh.

Katanya, dana sumbangan berkenaan termasuk untuk perbelanjaan barangan keperluan upacara dan membayar upah sami.

"Sejak semalam (Isnin) salah seorang anak saya terlihat di Facebook ada pihak muat naik status menyatakan kesedihan dengan tragedi yang meragut nyawa dan individu itu telah mencari tokong untuk upacara sembahyang bagi mereka yang maut serta masih hilang.

"Dipercayai ramai pembaca yang memberi respons bersimpati dan menyumbang namun kami sekeluarga tidak pernah dihubungi mana-mana pihak berhubung kutipan dana itu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Machap Baru di sini pada Selasa.

Ikuti perkembangan tragedi tanah runtuh Batang Kali DI SINI! 

Jelasnya, dia turut kecewa apabila pengguna Facebook itu turut menggunakan gambar tokong untuk upacara sembahyang yang dipercayai diperoleh daripada hasil carian dalam internet.

"Dia meletakkan senarai nama mangsa yang terlibat sedangkan ahli keluarga kami masih belum ditemui," jelasnya.

Tegasnya, perbuatan itu seolah-olah tidak menghormati emosi keluarga yang sedang bersedih sekali gus menimbulkan kemarahan kerana pihak berkenaan tidak meminta izin terlebih dahulu. -Sinar Harian