SUNGAI BULOH: Sepasang suami isteri yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, terlalu gemarkan aktiviti berkhemah.

Bahkan, kegemaran itu juga turut diwarisi anak-anak pasangan berkenaan, kata adik kepada mangsa, Mary, 58.

Menurut Mary, kakaknya yang juga antara korban tragedi itu bersama suami lazimnya melakukan aktviti itu setiap kali kelapangan.

Justeru, apabila mendengar berita runtuhan tanah di tapak perkhemahan itu, Mary mengakui, hatinya terlalu bimbang memikirkan bagaimana nasib adiknya sekeluarga.

“Kami sangat risau (keadaan mereka). Kami harap semua okey (selepas mendapat tahu insiden runtuhan).

“Kebiasaannya mereka memang suka berkhemah,” ujarnya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini pada Ahad.

Kata Mary, selain kakaknya, turut terkorban dalam nahas itu adalah tiga lagi mangsa masing-masing suami kakaknya serta dua anak pasangan berkenaan.

Bercerita lanjut, Mary yang berasal dari Kampung Machap Baru Alor Gajah, Melaka berkata, bagaimanapun, ketika ini anak perempuan mangsa yang berusia enam tahun masih belum ditemukan.

“Dia (kakak), suami isteri bersama anak perempuan enam tahun dan anak lelaki berusia tiga tahun.

“Di dalam ada (Jabatan Forensik) tiga (mayat) (cuma mayat), anak perempuan mereka belum jumpa,” kata Mary.

Mary menambah, empat beranak itu pergi ke tapak perkhemahan bersama kawan mereka, yang juga empat beranak.

Dia turut difahamkan, keempat-empat mangsa yang juga kenalan kakaknya masih belum ditemukan.

Dalam pada itu, Mary berkata, tiga mayat yang telah selesai proses pengecaman akan dibawa pulang malam ini.

Setakat petang Ahad, 21 daripada 24 mangsa yang terkorban dalam insiden tanah runtuh telah dikenal pasti, sementara sembilan lagi masih hilang.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.