SEREMBAN: Gangguan bekalan air mentah di Springhill Port Dickson, dekat sini sehingga hari ini antara lain berpunca daripada tanah runtuh susulan banjir di Hutan Simpan Gunung Berembun pada 18 Dis tahun lepas.

Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Ir Mohd Yazid Ahmad berkata gangguan berkenaan menyebabkan hampir 4,000 akaun pengguna di kawasan itu turut terjejas.

Beliau berkata air sungai dari hutan terbabit merupakan punca utama bekalan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Linggi sebelum disalurkan ke Springhill dan ada kalanya loji terpaksa mengurangkan atau menghentikan operasi pam air bagi menepati piawaian air minum kebangsaan.

"Ini berlaku kerana tingkat kekeruhan air (NTU) yang tinggi melebihi 5,000 dan LRA hanya boleh merawat jika NTU di bawah 1,000, sekiranya lebih, ia memerlukan sekurang-kurangnya lima ke enam jam atau setengah hari untuk memproses kekeruhan air sehingga memberi kesan kepada bekalan air di kawasan tinggi.

"Air sungai menjadi keruh akibat kemasukan bendasing putih seperti pasir halus dan sampah sehingga menyebabkan muka sauk dan sistem penyaringan skrin tersumbat," katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Pantai di sini hari ini.

Justeru beliau berkata Sains melaksanakan strategi jangka masa pendek termasuk memasang alat kawalan tekanan dan melaraskan injap berkaitan bagi mempercepatkan bekalan air ke Springhill serta menghantar tangki statik ke kawasan gangguan.

Mohd Yazid berkata Sains juga sedang menaik taraf dan membaik pulih sistem penyaringan dan papan suis panel di muka sauk LRA Linggi bagi mengatasi masalah bekalan air berkenaan.

-- BERNAMA