PAPAR: Sejumlah penumpang terkandas dalam kereta api akibat tanah runtuh yang berlaku di ladasan Terowong Papar di sini, malam ini.

Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku jam 7.30 malam.

"Kerja-kerja menyelamatkan penumpang perkhidmatan keretapi petang ini sedang diusahakan," menurut kenyataan dikeluarkan JKNS malam ini.

JKNS turut memaklumkan, susulan kejadian itu perkhidmatan keretapi esok dibatalkan membabitkan perjalanan dari Beaufort-Sembulan pada jam 5 pagi; Sembulan-Beaufort (7 pagi); Beaufort-Sembulan (11.01 pagi); Tanjung Aru-Kinarut (1.40 tengah hari); dan Kinarut-Tanjung Aru (4.40 petang).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ambo Sakka ketika dihubungi mengesahkan kejadian tanah runtuh tersebut dan berkata tiada laporan kemalangan jiwa yang diterima setakat ini.

Jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian itu juga menurut beliau masih belum diketahui.

"Buat masa ini, kita masih belum dapat memastikan berapa jumlah penumpang yang berada di dalam kereta api berkenaan.

"Bagaimanapun, mengikut laporan diterima, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan sebuah lagi kereta api digunakan untuk menarik keluar kereta api yang tersekat akibat tanah runtuh di laluan terowong tersebut.