KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang tertimbus akibat tanah runtuh di Wisma YPR, off Jalan Syed Putra, ibu negara, ditemukan maut awal pagi Khamis.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGO KL), mayat mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan pada jam 6.23 pagi tadi.

"Runtuhan batu penahan tebing telah menghempap pondok pengawal ketika mangsa berada di dalam sekaligus menyebabkan mangsa tertimbus.

"Pencarian mangsa yang tertimbus di lakukan oleh pasukan Bomba dengan bantuan unit K9, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan jentolak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Mangsa berjaya di bawa keluar pada jam 6.23 pagi dan telah disahkan meninggal dunia oleh
pihak paramedik," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, PGO KL berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan seorang pengawal keselamatan dikhuatiri maut selepas tertimbus akibat runtuhan batu penahan tebing yang menghempap pondok pengawal di Wisma YPR, off Jalan Syed Putra, ibu negara.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.54 tengah malam dan menggerakkan seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Seputeh, unit STORM dan K9 ke lokasi kejadian.