AMPANG JAYA: Semua mangsa serta penduduk lain di sekitar di kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, di sini diingatkan supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan yang lebih buruk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad, berkata ini kerana masih terdapat pergerakan tanah yang dikesan di lokasi kejadian.

Menurutnya, hujan yang berterusan dikhuatiri memburukkan lagi keadaan.

“Saya telah lihat sendiri kesan runtuhan dan masih berlaku. Kita tidak boleh pandang ringan, jika hujan berlarutan, ia mungkin mempunyai kesan yang lebih teruk.

“Tak hujanpun ada pergerakan tanah. Lebih baik kita jangkakan ia akan jadi lebih buruk, daripada kita memberi harapan yang salah kepada masyarakat di sini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

BACA: Lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights diisytihar kawasan bencana

BACA: Tanah runtuh Kemensah Heights: Kerajaan Selangor salur bantuan khas RM500


Penduduk Kemensah Heights perlu sedia berhadapan sebarang kemungkinan

Mengulas lanjut, beliau berkata kerja-kerja awalan pembersihan runtuhan telah digerakkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak bermula petang Sabtu.

Katanya, kerja-kerja terbabit termasuk memastikan aliran sungai yang mengakibatkan mendapan di kawasan berkenaan.

“Bencana ini kena kaji secara saintifik dan data. Perkara ini masih berlaku dan paling penting apa juga berlaku sekarang ini telahpun diambil tindakan cepat bagi memastikan kesan di bawah dapat dibendung,” katanya.

Baliau menambah, aliran air sungai yang sebelum ini telah menghalang laluan air kini kembali lancar biarpun hujan petang tadi.

Dalam masa sama, Abdul Latiff berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut memulakan kerja-kerja pemasangan kanvas sebagai sebahagian usaha menghalang air hujan terkena runtuhan tanah di kawasan itu.