JAKARTA: Sejumlah 20 pelombong dilapor tertimbus dalam insiden tanah runtuh di sebuah lombong emas tradisional di wilayah Kalimantan Barat Indonesia.

Menurut ketua operasi menyelamat pada Sabtu, kejadian berlaku di kampung Kinande di daerah Bengkayang pada Khamis malam.

Namun maklumat tentang kejadian hanya diterima anggota penyelamat wilayah pada Jumaat malam, kata ketua unit operasi Eryk Subaryanto.

"Kami mendapat maklumat pada malam Jumaat, dan segera mengerahkan anggota kami ke tempat kejadian," katanya kepada Xinhua melalui telefon.

Operasi menyelamat terhalang akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu, selain lokasi lombong yang terpencil dan kemudahan komunikasi yang lemah di kawasan itu, kata Eryk lagi.

Anggota tentera, anggota agensi pengurusan dan mitigasi bencana tempatan serta penduduk kampung turut terlibat dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan lombong itu, tambahnya.