Aras bawah blok utama Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah sibuk dan padat, menteri sedang datang melawat.

Satu demi satu keluarga ditemui menteri yang diiringi pegawai-pegawai dan pengikut-pengikutnya menunjukkan keprihatinannya terhadap nasib mangsa bencana, bertanyakan perihal masing-masing.

Dalam kesibukan itu, kelihatan dua orang kanak-kanak keluar masuk daripada khemahnya, selang-seli kedengaran ketawa dan sesekali khemah itu bergoyang.

"Ish budak-budak ni, orang tengah bersedih, dia seronok pula," tegur seorang wanita sambil dia berdiri memerhatikan menteri yang baru saja berlalu melewati khemahnya.

"Ini anak-anak saya, mereka ini kembar. Asyik nak main saja," kata Suhaiza Abd Malek, 30 tahun, sambil tersenyum segan menggeleng kecil kepalanya.

Suhaiza merupakan salah seorang daripada 132 orang penduduk daripada 27 keluarga yang menetap buat sementara di pusat penempatan bencana SRA Serendah ekoran insiden tanah runtuh di taman perumahannya, Taman Idaman.

Mangsa di pusat penempatan bencana SRA Serendah. - Astro AWANI
Rumahnya di Jalan Anggerik, lokasi yang berada paling hampir dengan tebing runtuhan yang terbentuk daripada kejadian mengejutkan awal pagi Sabtu itu.

"Ketika kejadian saya sedang tidur sebelum Mak kejutkan saya, katanya jiran beritahu tanah runtuh.

"Kami semua panik. Satu malam tak tidur."

Ketika itu, dia bersama ibu bapanya serta dua orang anak kembarnya berada di rumah tersebut.

Anak kembar Suhaiza, Mohammad Qalif Rayyan dan Mohammad Qais Rayyan, bermain di dalam khemah di pusat penempatan bencana SRA Serendah. - Astro AWANI
Suhaiza mengakui sehingga kini dia masih lagi trauma. Menurut ibu tunggal itu, ini adalah kali pertama dirinya mengalami situasi sebegitu.

"Selalu tengok dekat TV, sekarang kita pulak yang rasa," kata ibunya, Rohani Ahmad, 53 tahun yang duduk bersimpuh di atas tikar.

Enam belas tahun menetap di situ, tidak pernah langsung ada 'bau' bencana. Tanpa sebarang tanda atau isyarat, segalanya berlaku dengan begitu pantas dan meranapkan segala di atas dan di bawahnya.

Keretanya selamat dan dibawa jauh dari kawasan bahaya oleh Abahnya, namun malang buat kereta Proton Iswara hitam milik ayahnya yang ditimpa runtuhan bumbung pondok dan tersangkut betul-betul pada gigi tebing runtuhan.

Kereta Proton Iswara hitam milik ayah Suhaiza yang tersangkut pada gigi tebing runtuhan. - Astro AWANI
"Selepas diarah supaya kosongkan rumah, kami mendaftar di sini tetapi malam kami buat keputusan untuk tidur di rumah adik di Antara Gapi.

"Hari ini Mak cakap nak tahu perkembangan rumah, jadi terpaksa tinggal di sini. Kalau duduk di sana (rumah adik) tak dapat tahu apa yang jadi di sini."

Suhaiza bersama ibunya serta adiknya yang mengendong bayi kecil terus duduk di sisi khemahnya selepas menteri beransur, dan dua orang anak kembarnya sedang bermain-main di dalam khemah itu.

Dalam bilik darjah yang dibuka dindingnya menjadi dewan itu menjadi tempat pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan simpanan barang bantuan, serta menempatkan kira-kira sembilan keluarga berdasarkan sembilan khemah yang dapat dimuatkan.

Bilik darjah SRA Serendah dijadikan dewan. - Astro AWANI
Seketika kemudian, Suhaiza bingkas bangun dan melambai memanggil seorang lelaki tua yang menyambut dari luar bilik darjah menerusi tingkap. Lelaki itu masuk tidak lama kemudian.

"Abah, katanya rumah kita dah tak boleh diduduki lagi. Mereka nak beri rumah baharu.

"Tapi saya tak nak pindah," rungutnya.

"Alah kita belum tahu lagi lah, mereka tengah siasat lagi. Tak ada apa-apa lah. Jangan fikir negatif, fikir positif.

"Abah orang politik, Abah tahu lah. Dah, jangan fikir bukan-bukan," tegas Abd Malek Mohd, yang kemas berpakaian kemeja dan berseluar panjang. Dia nampak seperti sibuk hari itu, mungkin giat berjumpa dengan pelbagai manusia di situ.

Berulang-ulang lelaki berusia 70 tahun itu meyakinkan anak perempuannya itu sebelum berlalu meninggalkan keluarganya dan keluar dari dewan. Suhaiza dengan wajah resah dan keliru kembali duduk bersama ibu dan adiknya.

Dewan sementara itu menjadi tempat pendaftaran JKM dan simpanan barang bantuan. - Astro AWANI
Sesekali anak kembarnya yang nakal itu menyelit di antara mereka, menyampuk perbualan dengan bersahaja yang ada kalanya menggelikan hati.

Menurut Suhaiza, rumahnya tidaklah ranap teruk. Hanya beberapa keretakan dan konkrit pada siling dan dinding terkopek dan jatuh menimpa lantai yang merekah.

Tetapi apa yang dikhuatirkan adalah keadaannya berada sangat dekat dengan kawasan runtuhan, dan dirasakan masih berisiko biarpun Jalan Melati dan kawasan sekitarnya yang runtuh sudah sepenuhnya dipulihkan.

"Rumah itu banyak sangat kenangan dan memori, dari saya remaja sekolah, belum berkahwin sampai dah ada dua orang anak.

"Kalau boleh biarlah rumah kami itu boleh diduduki lagi. Kami sayang sangat rumah itu," harapnya.

Terdahulu hari itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan pihak kerajaan sedia memberi bantuan perumahan baharu kepada semua 64 keluarga terlibat.

Bantuan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada laporan akhir siasatan terhadap insiden itu.

Apa pun, Suhaiza sedia menerima sebarang keputusan demi kebaikan keluarga, anak-anak dan dirinya.

"Kalau terpaksa diarah keluar, tidak boleh tinggal di situ, saya nak buat macam mana. Apabila keputusan itu dah dibuat kita kena redha, terpaksa ikut arahan.

"Tapi macam mana dapat yang baru pun ia takkan sama dengan yang lama. Anak-anak pun pasti akan rasa lain sebab mereka membesar di rumah itu."

Si kembar kembali selepas puas bergurau, masing-masing sedikit mengah.

"Suka rumah lama ke rumah baru?" soal Suhaiza kepada anak-anaknya.

"Rumah baru...eh rumah lama! Sebab boleh tengok kartun!" teriak kecil Mohammad Qalif Rayyan yang melabuhkan badan pada pangkuan ibunya.

Mohammad Qais Rayyan, sedikit berisi berbanding abangnya pantas membalas, "rumah baru lah!"

Namun tidak lama kemudian dia menyambung, "tapi kalau rumah baru tak ada mainan macam rumah lama kan?"

Terus ketawa Suhaiza, terukir senyuman pada wajahnya, seakan terlupa seketika segala masalah dan kerisauan yang membelenggu fikirannya.