IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tanah runtuh di Seksyen 27, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditamatkan pada petang Jumaat.

Operasi ditamatkan selepas pasukan SAR mendapati tiada lagi mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang.

“Kerja-kerja SAR menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kepakaran khas seperti pasukan STORM, SMART dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah dijalankan bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertinggal di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.


Tragedi Simpang Pulai | Hujan lebat berterusan punca tanah runtuh

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, khidmat Unit K9 digunakan dalam operasi SAR di kawasan runtuhan bagi mengesahkan tiada lagi mangsa atau kenderaan lain yang terperangkap.

Pada Khamis, JBPM menerima panggilan pada jam 1.44 petang mengenai kejadian tanah runtuh itu yang meragut dua nyawa.


Tanah Runtuh | Dua kenderaan tertimbus, dua maut

Mangsa ialah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Kedua-dua kenderaan yang terlibat di dalam kejadian itu juga telah dikeluarkan dari lokasi, hari ini.

Operasi SAR melibatkan 143 anggota dari pelbagai agensi dan syarikat konsesi.