IPOH: Seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai merupakan individu yang dikhuatiri terperangkap dalam sebuah lori dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Khamis.

Lelaki berkenaan dipercayai sedang memandu sebuah lori dengan muatan sayur-sayuran dari Cameron Highlands menghala ke Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bagaimanapun berkata identiti mangsa masih dikenal pasti.

“Daripada siasatan awal mendapati, ada sebuah lori yang kita percaya membawa sayur dari Cameron Highlands telah tertimbus di tempat kejadian.

“Setakat ini, maklumat kita perolehi lelaki tersebut berusia 31 tahun dan usaha sedang dibuat untuk menyelamatkan mangsa.

“Kita dapati lori tersebut telah tertimbus dan dua jengkaut digunakan untuk mengalihkan tanah, sebuah di sebelah sini (Simpang Pulai) dan sebuah lagi kita minta bantuan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands.

BACA: Kenderaan tertimbus dalam insiden tanah runtuh jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands


[TERKINI] Kenderaan tertimbus dalam tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

“Usaha sedang dibuat untuk terus menyelamat mangsa yang kita percaya masih terperangkap di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan tinjauan di lokasi berkenaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Kata Mior Faridalathrash lagi, setakat jam 6.06 petang, sebahagian daripada kepala lori berkenaan telah mula kelihatan, namun pihak berkuasa masih belum menemukan mangsa.

Sementara itu, beliau berkata Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah diminta untuk membuat pemantauan pergerakan tanah dengan menggunakan dron sepanjang kerja-kerja menyelamat giat dijalankan.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan laluan Cameron Highlands-Simpang Pulai telah ditutup untuk kenderaan awam.

Bagaimanapun, pemandu boleh menggunakan laluan Cameron Highlands-Tapah yang telah dibuka sebagai laluan alternatif.