GEORGE TOWN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Timur Laut pada Sabtu memberi amaran kepada pemilik sebuah kedai kasut di kompleks beli-belah Queensbay supaya lebih teliti meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Kedai berkenaan didapati meletakkan tanda harga membabitkan pewangi kasut secara bertindih menyebabkan kekeliruan kepada pelanggan.

Pemeriksaan dilakukan selepas menerima aduan daripada pengguna mengenai kekeliruan harga pada pewangi kasut yang dipamerkan dengan jelas iaitu RM16.99 sebotol.

Pejabat KPDNHEP Cawangan Timur Laut berkata, harga pewangi sepatutnya RM16.99 tetapi diletakkan di bawah tag tanda harga RM24.99.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan di premis terbabit pada jam 10.50 pagi Ahad mendapati tanda harga yang dipamerkan pada barangan itu jelas dan tiada pertindihan.

“Peniaga memaklumkan sebelum itu mungkin berlaku kesilapan yang dilakukan oleh pekerja semasa proses meletakkan tanda harga," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Ahad.

Kenyataan itu memaklumkan, sebelum ini pihaknya menerima aduan berhubung penyegar kasut yang berharga RM16.99 didapati ditampal secara bertindih dengan tanda harga RM24.99.

Berikutan itu, pengusaha premis berkenaan diberi amaran supaya lebih teliti ketika meletakkan tanda harga

“Satu kenyataan pemeriksaan premis dikeluarkan dan turut ditandatangan pengurus syarikat itu.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya perkara sama didapati berulang dan pengguna diminta lebih peka dengan harga jualan sebelum membuat pembayaran," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.