IPOH: Tindakan serta cara kerajaan dalam menangani isu inflasi dan kenaikan harga barang disifatkan sebagai melucukan dan lawak.

Perkara itu ditegaskan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa situasi ekonomi yang kian menghimpit rakyat kini memperlihatkan pentadbiran kerajaan sedia ada lemah.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan keperluan bagi menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Kita lihat kerajaan hari ini adalah kerajaan 'Pak Lawak'.

"Dia (kerajaan) yang menaikkan harga ayam, dia juga yang nak melancarkan jihad untuk menghadapi inflasi.

"Dan salah satu daripada soal inflasi ini ialah kenaikan harga barang, jadi ini satu keadaan yang melucukan dalam negara kita dan dalam sejarah inilah kerajaan yang paling lemah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Konvensyen Amanah Perak di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi.

Mahfuz berkata, kewujudan beberapa pasukan khas sebelum ini belum menampakkan sebarang perubahan atau hasil dalam menangani isu berkenaan.

"Saya tengah fikir apa lagi idea baharu boleh diperoleh daripada 'task force' itu, sedangkan task force sebelum ini pun tidak nampak idea yang boleh menggerakkan usaha yang lebih baik.

"Saya nampak kerajaan ini buntu, sampai dah tiga 'task force' Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) kemudian Majlis Pemulihan Negara (MPN), yang semua memainkan peranan dan fungsi yang sama dalam nak mengatasi masalah inflasi.

"Kita menghabiskan wang untuk bermesyuarat, makan karipap dan pulut udang tetapi perut rakyat terus kelaparan, saya tak nampak sebarang penyelesaian yang konkrit berhubung isu ini," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Ismail Sabri berkata langkah itu diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Rusia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.