JOHOR BAHRU: Walaupun masih berada dalam pandemik COVID-19, Hari Malaysia tetap disambut dan diraikan masyarakat.

Di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Midvalley, Johor Bahru, tarian zapin oleh 20 petugas sukarelawan MyVac sebelum memulakan tugasan ternyata menceriakan suasana pada pagi Hari Malaysia.

Bukan itu sahaja, hari istimewa ini meriah apabila lebih 70 petugas di PPV itu mengenakan pakaian tradisional.

Malah pemasangan lagu patriotik serta kehadiran 'buskers' atau penghibur jalanan turut menceriakan penerima vaksin.

Penyelaras PPV Mega Midvalley, Mahdhir Malham berkata, sambutan Hari Malaysia lebih bermakna walaupun berada dalam suasana berbeza.

"Tahun ini merupakan tahun kedua Hari Malaysia disambut dalam situasi pandemik COVID-19.

"Bagi menyemarakan rasa cinta pada negara, kita rancakkan sambutan Hari Malaysia dengan melakukan persembahan untuk penerima vaksin," katanya.

Bagi petugas sukarelawan MyVac, Cynthia Fong, suasana ceria Hari Malaysia ini menggambarkan semangat pelbagai kaum.

Dan dia berharap perpaduan serta keharmonian yang sedia ada dapat dikekalkan serta ditambah baik pada masa akan datang.

"Saya bersyukur dan rasa bangga sangat sebagai seorang warga Malaysia dan dapat mengambil bahagian dalam sambutan Hari Malaysia hari ini," katanya.

Bagi sukarelawan MyVac S. Eswaran pula, walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama, kepelbagaian itu diraikan dan dikongsi bersama.

"Kita sebagai sukarelawan MyVac bertugas di sini bagi membantu rakyat menerima vaksin.

"Hari ini kita buat persembahan tarian zapin dan saya sebagai seorang India memakai Baju Melayu. Tak kira apa kaum kita hidup bersama dan berkongsi kebudayaan setiap kaum," katanya.

Sejak dibuka pada Julai tahun lalu, PPV ini telah memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada 225,000 penerima vaksin, termasuk 1,500 individu pada hari ini.