DUNGUN: Kadar tarif baharu elektrik negara bagi tahun 2022 hingga 2024 akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu telah diputuskan pada Rabu lepas.

Menurut beliau kadar tarif baharu itu dijamin tidak akan membebankan pengguna.

“Saya telah bincang dalam Kabinet sebanyak enam kali berturut-turut. Semalam, kita telah finalize. Jadi saya rasa tak lama dah (akan diumum).

“Kita akan laksana IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif) ini pada 1 Februari. Kita akan umum, tengah tunggu Suruhanjaya Tenaga tetapi saya boleh bagi bayangan bahawa, tidak sama sekali membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Large Scale Solar berkapasiti 29.99 29.99 MWac di Kampung Tok Arun Kawasan Perindustrian Santong, Paka di sini pada Khamis.

Sementara itu Takiyuddin berkata KeTSA akan terus memainkan peranan dalam memastikan sektor bekalan elektrik diuruskan secara strategik supaya pengguna dapat terus menikmati perkhidmatan bekalan elektrik yang berdaya harap, lestari dan mampu bayar.

Katanya, KeTSA juga mewujudkan industri pembekalan elektrik negara yang kalis cabaran melalui pengukuhan sistem bekalan elektrik di Semenanjung bagi menampung peningkatan kemasukan tenaga solar ke dalam sistem yang diperkukuhkan demi menampung pertambahan beban pada masa hadapan.