Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan seolah-olah kelonggaran yang diberikan kepada rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada rakyat pada ketika ini, mungkin ditarik balik sekiranya virus COVID-19 menular kembali.

Katanya, jika situasi itu berlaku, kemungkinan besar negara terpaksa berbalik kepada keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi penularan kes (COVID-19) kembali, kita akan membuat seperti sebelum ini termasuk menutup semula kemudahan dan melakukan saringan seperti PKP dulu.

"Tujuan utama kita pada PKPP adalah membuka semua sektor dan memantau rapat kes penularan tempatan," katanya pada sidang media di Putrajaya, pada Rabu.

Sambil menyifatkan hari ini sebagai permulaan yang baik kerana negara merekodkan sifar kes transmisi tempatan, Noor Hisham memberitahu, rakyat Malaysia perlu mengekalkan momentum itu untuk 28 hari yang akan datang bagi membolehkan Malaysia diisytiharkan bebas daripada jangkitan itu.

"Saya pasti kita boleh," tambahnya.

Malaysia mencatatkan sifar kes jangkitan baharu COVID-19 membabitkan penularan dalam negara dalam tempoh 24 jam.

Noor Hisham berkata, ia adalah angka harian terendah dicatatkan sepanjang tempoh gelombang kedua wabak berkenaan di negara ini.