KUALA LUMPUR : "DAP punya perangai mungkin dia tidak hormat Yang di-Pertuan Agong tapi saya hormati Yang di-Pertuan Agong."

Demikian jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas kenyataan Setiuasaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa beliau 'flip-flop' dalam menentukan keputusan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Perdana Menteri, beliau tiada kuasa untuk menetapkan tarikh pilihan raya kerana semuanya terletak kepada keputusan Agong.

"Kabinet akan berikan mandat kepada saya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Seri Paduka Baginda.

"Kuasa terakhir adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong. Baginda boleh tentukan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh menolak atau bersetuju.

"Seri Paduka Baginda boleh menolaknya kalau baginda tidak bersetuju. Saya tidak boleh katakan tarikh yang tepat kerana itu kerana saya akan ambil alih tugas Yang di-Pertuan Agong

"Itu salah dari segi perlembagaan kalau saya tetapkan tarikh kerana kuasa penentu adalah daripada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, di sini pada Ahad.

Tambah beliau, Perdana Menteri terdahulu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak menetapkan tarikh pilihan raya.

"Cuba kamu semak dari kenyataan Perdana Menteri dahulu, ada atau tidak Perdana Menteri dahulu menetapkan tarikh PRU. Kalau tanya Dr Mahathir waktu itu, dia akan kata 'saya belum dapat ilham'.

"Kalau saya beritahu lebih awal, seronoklah DAP. Mereka boleh siap sedia awal (ketawa). Jadi, kita tidak tahu bila.

"Apa pun, PRU akan dibincangkan oleh bersama top five UMNO, ada biro politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN). Kemudian saya juga akan bincang dalam Kabinet," ujarnya.

Anthony Loke sebelum ini di Facebook beliau berkata, Perdana Menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya berkaitan tarikh pilihan raya.

Menurutnya, kenyataan dan mesej yang 'flip-flop' hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.