Taska di semua agensi kerajaan menjelang 1 Jan 2019 - Dr Wan Azizah

Firdaus Azil
Julai 24, 2018 02:48 MYT
Kerajaan mahu wujudkan jawatankuasa khas pantau insiden kanak-kanak di taska, termasuk perketatkan undang-undang berkaitan.
Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KWKPM) mensasarkan 1 Januari tahun hadapan untuk semua agensi kerajaan menyediakan taman asuhan kanak-kanak (taska) di premis mereka.
Menterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah itu antara lain bagi memberikan kemudahan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil terutamanya kepada staf yang bekerja mengikut syif.
Beliau berkata kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menyediakan taska di sekolah-sekolah kebangsaan bagi kemudahan guru-guru wanita.
Selain itu, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan pusat taska di seluruh negara.
Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri berkata jawatankuasa khas itu akan mempunyai peranan yang spesifik dalam usaha mengurangkan insiden berkaitan, termasuk mengkaji tahap keberkesanan pusat taska itu.
“Jawatankuasa ini akan mengawal selia keperluan untuk mewajibkan pengasuh kanak-kanak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, mengadakan kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk sebarang kes salah laku berkaitan, serta mengkaji kos terlibat dalam pengurusan pusat asuhan kanak-kanak,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang ingin mengetahui langkah kementerian dalam mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak, termasuk rumah persendirian.
BACA: Pengasuh di rumah akan terus dipantau
BACA: Bayi empat bulan maut di TASKA
BACA: Akta berkaitan penjagaan kanak kanak akan diperketatkan - TPM
Dr Wan Azizah berkata kementerian juga akan melihat keperluan menyediakan aplikasi bagi memudahkan pengasuh atau masyarakat untuk mendapatkan pertolongan sekiranya berlaku kejadian melibatkan kanak-kanak.
Berhubung cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), beliau berkata kementerian akan melihat mekanisme sesuai sebelum dikemukakan kepada perdana menteri dan kabinet.
#bayi #CCTV #Dewan Rakyat #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Kanak-kanak #maut #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail