KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa agar memastikan ia mempunyai prosedur dan tatacara penyimpanan serta pengendalian barang kes yang lebih sistematik dan berpusat.

Ia perlu supaya isu membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid, melibatkan tuduhan pecah amanah RM50.4 juta, tidak berulang.

Gesaan tersebut disuarakan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (TIA) Dewan Negara susulan mesyuarat yang diadakan terdahulu hari ini.

Katanya, gesaan dibuat bagi memastikan SPRM dapat meningkatkan kredibiliti sebagai sebuah agensi penguatkuasaan antirasuah yang lebih dihormati di negara ini. 

"Dalam mesyuarat tersebut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki turut hadir memberi penjelasan berkenaan isu-isu rasuah dan antirasuah terkini yang dilaksanakan SPRM.

"Semua ahli jawatankuasa berpuas hati dengan tugas-tugas pendakwaan dan penyiasatan yang telah dijalankan.

"Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim  juga turut memberitahu, Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan mewujudkan satu jawatankuasa bersama berkaitan antirasuah dan perkara ini telah pun dipersetujui Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.

"Beliau berharap, penubuhan jawatankuasa bersama ini akan meningkatkan lagi sistem pemantauan terhadap agensi penguatkuasaan antirasuah di Malaysia," demikian menurut kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara berkata, jawatankuasa TIA juga membangkitkan mengenai pewujudan semula Mahkamah Khas Antirasuah bermula daripada peringkat Mahkamah Seksyen hingga ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Syor tersebut, katanya, diputuskan bagi menyelesaikan isu peningkatan jumlah kes tertunggak.

Menurutnya, cadangan itu juga mempercepatkan proses pendakwaan dan pembicaraan berkaitan rasuah mengikut takwim dan jadual yang ditetapkan. 

Pada masa sama, mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu turut mencadangkan agar SPRM diletakkan di bawah pengawasan Parlimen terutama dari aspek pembuatan dasar dan pemurnian nilai-nilai perkhidmatan antirasuah.

Ini supaya semua tindakan yang dijalankan agensi tersebut sentiasa mengikut lunas undang-undang.

"Cadangan ini adalah salah satu daripada strategi Transformasi Parlimen yang telah diluluskan oleh Kabinet bulan lepas," tambahnya.

Selain itu, turut ditimbulkan ialah berkenaan isu kekurangan pegawai di SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam menjalankan tugas penguatkuasaan dan pendakwaan.

Jawatankuasa tersebut memutuskan akan mengundang Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah pada pertengahan Julai ini untuk berbincang dan memperhalusi perkara tersebut.