Taufan Khanun: Lebih 30,000 pengakap tinggalkan Saemangeum

Bernama
Ogos 8, 2023 04:50 MYT
Sebanyak 1,022 bas akan mengangkut peserta jambori dari 156 negara menuju ke lokasi penginapan baharu di lapan bandar dan wilayah, termasuk Seoul dan Wilayah Gyeonggi. - Foto Reuters
SEOUL: Kira-kira 36,000 ahli pengakap muda dan sukarelawan mula meninggalkan Saemangeum, lokasi tapak perkhemahan 25th World Scout Jamboree, empat hari lebih awal daripada dijadual ekoran taufan kuat dijangka melanda kawasan itu, menurut jawatankuasa penganjur.
Sebanyak 1,022 bas akan mengangkut peserta jambori dari 156 negara menuju ke lokasi penginapan baharu di lapan bandar dan wilayah, termasuk Seoul dan Wilayah Gyeonggi, lapor agensi berita Yonhap.
Kerajaan telah mengesahkan 66 penginapan di Gyeonggi, 18 di wilayah tengah Chungcheong Selatan, 17 di Seoul, lapan di Incheon, tujuh di wilayah tengah Chungcheong Utara, enam di pusat bandar Daejeon, tiga di pusat pentadbiran bandar Sejong dan tiga lagi di wilayah barat daya Jeolla Utara.
Kerajaan pada mulanya bercadang untuk memindahkan semua peserta ke kawasan ibu negara tetapi meluaskan skop ke wilayah tengah susulan kesukaran mendapatkan sejumlah besar penginapan dalam tempoh yang singkat.
Kebanyakan tempat penginapan adalah asrama universiti, pusat latihan institusi awam dan kemudahan pendidikan.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa kesemua 499 ahli kontinjen Malaysia terdiri daripada pengakap, guru pengiring dilaporkan selamat.
Acara global empat tahun sekali itu berlangsung di Saemangeum pada 1 Ogos sehingga Sabtu.
Yonhap melaporkan bahawa keputusan pemindahan dibuat berikutan Taufan Khanun dijangka mendarat di pantai tenggara negara pada pagi Khamis, membawa hujan lebat dan angin kencang dengan kelajuan maksimum sehingga 44 meter sesaat.
-- BERNAMA
#25th World Scout Jamboree #Taufan Khanun #Korea Selatan #jambori pengakap