MANILA:Pihak berkuasa Filipina pada Sabtu mengarahkan proses pemindahan ribuan penduduk di selatan Luzon menjelang kedatangan ribut taufan Kategori 5, yang diramal sebagai taufan terkuat di dunia pada tahun ini, lapor Reuters.

Taufan Goni, yang membawa angin sekencang 215 kilometer sejam (kmj) hingga 265kmj, dijangka membadai negara itu pada Ahad.

Ia adalah taufan terkuat yang melanda Filipina sejak Taufan Haiyan pada November 2013 yang mengorbankan lebih 6,300 orang.

Evakuasi awal telah bermula di kawasan pinggir pantai dan zon yang cenderung berlaku tanah runtuh di wilayah Camarines Norte serta Camarines Sur. Sementara itu di Albay, pihak pemerintah sudah mengarahkan penduduk di kawasan berisiko supaya meninggalkan kediaman masing-masing.

“Kekuatan taufan ini bukan gurauan,” ujar pegawai pengurusan bencana tempatan, Gremil Naz.

Taufan Molave pada minggu lalu mengorbankan 22 orang, dengan kebanyakannya akibat lemas. Goni, yang merupakan taufan tropika ke-18 di Filipina, juga bergerak dalam laluan Taufan Molave.

Pihak berkuasa juga berdepan satu lagi cabaran iaitu untuk menjaga pematuhan penjarakan fizikal di pusat penempatan sementara bagi menghindarkan jangkitan virus korona.

Di Asia Tenggara, Filipina mencatatkan rekod jangkitan dan kematian kedua tertinggi, di belakang Indonesia.

Taufan Goni, yang kini bergerak ke arah barat dengan 20kmj dari Lautan Pasifik, bakal membawa hujan lebat di ibu negara dan 14 wilayah lain bermula petang Sabtu, selain ancaman banjir dan tanah runtuh.