Taylor's University terus cemerlang, tangga ke-53 terbaik di Asia

Ehsan A Marisah
November 5, 2021 02:00 MYT
Agenda pengantarabangsaan universiti antara kunci kejayaan Taylor's University. -Foto Taylor's University
KUALA LUMPUR: Taylor’s University terus cemerlang dengan menduduki tangga ke-53 peringkat Asia dalam senarai siri QS Asia University Rankings 2022.
Kedudukan tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 36 anak tangga berbanding pencapaian tahun lalu, sekali gus menjadikan Taylor’s University sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara.
Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Michael Driscoll berkata, kejayaan itu didorong oleh sokongan yang diterima daripada majikan dan ibu bapa pelajar.
“Kunci kepada kejayaan ini adalah melalui kerjasama erat daripada majikan di Malaysia dan global, dalam memberikan para pelajar peluang untuk menempuhi latihan industri yang bertaraf dunia dan seterusnya menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka selepas graduasi.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama antara universiti dan majikan adalah amat penting.
"Selain itu, kami menghargai kepercayaan dan sokongan yang diterima daripada keluarga pelajar," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Dalam pada itu, kata Driscoll, pelajar-pelajar turut diberikan peluang untuk mengembangkan potensi diri secara holistik melalui ekosistem Taylor’sphere.
"Taylor'sphere merupakan sebuah ekosistem yang merangkumi projek-projek yang diusahakan oleh pelajar bersama ahli akademik dan pakar industri yang banyak menyumbang kepada pembangunan pelajar kami.
"Idea ekosistem ini amat dialu-alukan oleh semua staf, pelajar dan ibu bapa.
"Kami harus memastikan ekosistem ini tetap kukuh apabila semuanya kembali seperti sedia kala selepas pandemik COVID-19,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, peningkatan dalam kemasukan pelajar antarabangsa diharap akan memberikan pendedahan kepada pelajar tempatan untuk berkolaborasi dan komunikasi dengan pelajar yang berbeza latar belakang.
“Ini adalah penting untuk pelajar tempatan, meskipun mereka tidak melanjutkan pengajian ke luar negara.
"Ia merupakan peluang terbaik untuk berjumpa dan bergaul dengan yang mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza.
“Kami juga menyediakan peluang yang terbaik bagi mereka untuk belajar di luar negara sama ada di Amerika Syarikat, United Kingdom atau rantau Asia.
"Agenda pengantarabangsaan ini amat penting kepada kejayaan universiti dan pelajar pada masa depan,” ujarnya.
Taylor’s University juga terus mengekalkan kedudukan sebagai 20 terbaik di dunia dalam senarai siri QS World University Rankings by Subject 2021 menerusi program Hospitaliti dan Pengurusan Liburan dan turut menduduki tangga ke-332 di dunia dalam senarai siri QS World University Rankings 2022.
Untuk maklumat lanjut mengenai pencapaian dan program yang ditawarkan di Taylor’s University, sila layari https://university.taylors.edu.my/en.html.
QS-AUR 2022 | Taylor's University tempat ke-53 terbaik di Asia
#QS AUR 2022 #taylor's university #Asia #Taylor'sphere