Sebarang teguran dan pandangan berkait sesuatu isu yang disuarakan pemimpin UMNO bertujuan memperkasakan hala tuju perjuangan parti agar kekal relevan di mata rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, amalan itu menunjukkan kematangan UMNO yang sentiasa bersikap terbuka dalam isu berkenaan.

"Tetapi yang menjadi masalahnya, jika ada batu api atau gunting dalam lipatan yang suka mencari salah orang lain.

"Pemimpin yang sayangkan UMNO akan melontarkan pandangan dan pendapat jika dirasakan bermanfaat untuk masa depan parti," katanya dalam catatan dalam laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Menurutnya, walaupun kemungkinan berlaku percanggahan pandangan tetapi tidak bermakna menolak kepimpinan sedia.

"Budaya UMNO ialah menghormati pemimpin, setia kepada pemimpin yang dipilih menerusi amalan demokrasi yang selama ini menjadi tunjang kekuatan parti.

"Pemimpin yang komited kepada perjuangan UMNO, akan melakukan apa sahaja untuk kepentingan parti tanpa menjuruskan kepada agenda peribadi," tegasnya.

Dalam hal ini ujar Syed Ali, hanya pemimpin yang telus dan bertangungjawab akan sentiasa vokal dengan perjuangan dan tidak akan bersikap berdiam diri membiarkan parti menjadi rosak.

"Kadangkala ada pihak salah tafsir teguran yang dilontarkan, sengaja diputarbelitkan pihak tertentu bagi menggambarkan berlaku perbalahan sesama pemimpin UMNO.

"Namun, setiap pandangan atau teguran seeloknya dibuat mengikut saluran parti dan diyakini tidak memberi impak negatif kepada UMNO.

"UMNO sentiasa terbuka dan bersedia menerima apa juga teguran, pandangan dan saranan kerana dengan cara itu parti akan menjadi bertambah kukuh," ujarnya.

Tegasnya, UMNO dan pemimpinnya perlu kepada teguran dan kritikan bagi membolehkannya membaiki kelemahan dan kesilapan.

"Tidak wajar jika terdapat mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh untuk mempolitikkan sesuatu isu supaya dilihat sebagai jaguh.

"Kadangkala seperti ada mereka yang macam anai-anai, cuba runtuhkan parti dengan lagakan sesama pemimpin," katanya.

Menurutnya, golongan ini juga mengambil kesempatan untuk meraih populariti walaupun tindakan mereka tidak memberi sebarang manfaat kepada parti.

"Sikap sedemikian hanya akan melebarkan jurang perpecahan dan jika tidak dibendung bakal memberi kesan kepada UMNO terutama ketika berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU)," jelasnya.