KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia menggunakan model yang efisien dan kos efektif agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi, kata Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, keputusan kerajaan menyerahkan kerja pembinaan infrastruktur kepada Digitial Nasional Berhad (DNB) juga merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan kos operasi.

Menurut beliau, sekiranya syarikat telekomunikasi sendiri membina infrastruktur untuk teknologi tersebut, ia pastinya meningkatkan kos operasi mereka dan akhirnya semua kos tersebut akan dikenakan kepada pengguna.

BACA: 5G: TERAJU pastikan manfaat kepada Bumiputera, potensi pelaburan asing

“Salah satu objektif kita adalah untuk turunkan kos. Tidak semestinya teknologi baharu, kosnya tinggi tapi ia bergantung kepada cara kita menguruskannya. Efisien adalah sangat penting.

“Ini kerana pada akhirnya, kita perlu pastikan ia efektif dari segi kos dan mampu untuk rakyat. Malah soal harga sebenarnya salah satu syarat dikenakan kepada DNB.

“Saya kerap bertanya soalan tentang kos kepada mereka (DNB) dan itu satu perkara yang kita akan teruskan pantau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelaksanaan 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration di sini, pada Rabu.


5G | Manfaat kepada Bumiputera, potensi pelaburan asing

Tambah Annuar, beliau berharap DNB mampu mempercepatkan pelaksanaan 5G di seluruh negara memandangkan Malaysia dilihat agak lewat berbanding negara jiran.

“Dalam tiga tahun akan datang, harap liputan 5G boleh menjangkau 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia. Ini satu agenda nasional yang sangat penting, satu ‘game changer’ kepada aktiviti ekonomi di seluruh negara.

“Kita tahu secara relatif, kalau banding dengan negara-negara jiran kita, kita agak perlahan sebelum daripada ini.

“Jadi dengan adanya DNB, harap dapat percepatkan liputan 5G dan harap dalam tiga tahun, kita akan jadi negara yang ke depan dalam memberikan perkhidmatan 5G. Itu perkara penting yang perlu dicapai,” ujar beliau.


[TERKINI] Sidang media majlis pelaksanaan 5G MOCN Integration