KUCHING: Berpaksikan julukan Bapa Inovasi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penanda aras kepada penerapan budaya inovasi dalam kalangan penjawat awam.

Demikian menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, yang berkata, masa depan sesebuah negara bergantung kepada tahap perkembangan teknologi yang digunakan.

Katanya, perubahan pantas dalam teknologi telah mewujudkan ekonomi baharu iaitu ekonomi digital.

“Sebab itu kita laksanakan ekonomi digital dan kita adakan IDEC (Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa).

"Saya minta SS (Setiausaha Kerajaan Sarawak) anjurkan IDEC dengan segera sebab kita tahu bahawa perubahan dunia adalah bergantung kepada teknologi dan teknologi berkembang dengan cepat.

“Keduanya, ekonomi baru yang berteraskan kepada cara-cara digital. Dan ketiga, ekonomi baharu yang berteraskan kepada masalah dihadapi dunia hari ini,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Penutupan High Performance Team (HPT) Retreat 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di Kedah pada Sabtu.

Tambah Abang Jo, kerajaan Sarawak bakal menyediakan peruntukan kepada penjawat awam yang ingin melanjutkan pelajaran.

Jelasnya, ia bagi membolehkan penjawat awam meningkatkan kemahiran hingga ke luar negara.

“Kalau mereka hendak meningkatkan kemahiran ke tahap PhD, kalau ada institusi yang boleh menerima mereka, kita buat, termasuk di Harvard (University), MIT (Massachusetts Institute of Technology), (University of) Oxford, Stanford (University), Silicon Valley.

"Kita mesti memberi pendedahan kepada penjawat awam. Saya akan menyediakan peruntukan kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran,” ujarnya.