Perkhidmatan teksi bandar kini dibenarkan untuk beroperasi mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Rabu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sistem pengambilan penumpang secara berperingkat itu diperkenalkan bagi mengatasi masalah penumpang yang menunggu terlalu lama untuk mendapatkan teksi.

Jelasnya, pengguna bagaimanapun perlu membayar RM 2 untuk mendapatkan kupon di kaunter selain caj teksi bermeter mengikut jarak perjalanan.

"Bayaran RM2 itu untuk memastikan kelancaran pengurusan kalau tidak semuanya akan tidak terurus dan perlu ada sesuatu untuk mereka (pihak pengurusan) menggaji pekerja dan memastikan pengguna yang mendapatkan kupon berkenaan mendapat khidmat teksi.

Sekiranya ada sebarang aduan kita tahu bagaimana hendak menanganinya dan ia bagi memastikan keberkesanan sistem teksi tersebut dan saya rasa jumlah itu tidak banyak,” katanya dalam sidang media di KLIA di sini hari ini.

Perkhidmatan teksi berkenaan akan beroperasi di aras satu bangunan terminal KLIA manakala teksi limosin kekal beroperasi di aras tiga.

SPAD juga mensasarkan tempoh menunggu kurang dari 10 minit bagi pengguna mendapatkan teksi.

Tambah Syed Hamid, SPAD juga akan memperkenalkan sistem kad pemandu bagi memastikan teksi yang beroperasi di KLIA mampu memberikan keselesaan kepada penumpang.

Sistem yang sama akan turut digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Dua (KLIA 2) yang dijangka siap pada 28 Jun ini.