SEPANG: Kenderaan mempunyai ruang besar dan selesa antara taktik digunakan perkhidmatan kereta sewa haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 di sini.

Hasil intipan dan pemantauan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Selangor pada Khamis berjaya membongkar kegiatan tersebut menerusi penahanan dua individu bersama dua kenderaan dipercayai digunakan sebagai teksi haram.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi dan Toyota Alphard bersama pemandu telah ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya.

"Kedua individu yang ditahan masing-masing merupakan lelaki warga tempatan berumur 42 dan 51 tahun.

"Ketika tangkapan dijalankan, kedua-dua suspek dipercayai sedang membawa pelancong warga asing," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati ulat yang menawarkan kegiatan teksi haram ini menyasarkan pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

"Siasatan awal mendapati ulat tersebut mengenakan tambang kepada pelancong bukan warganegara antara RM120 hingga RM200 dari KLIA2 ke Kuala Lumpur.

"Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ulat ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama," katanya.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah.

"Orang ramai dinasihatkan mendapatkan perkhidmatan sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA/KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," katanya. -Sinar Harian