KUALA TERENGGANU: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang menembak mati  bekas Ketua Bahagian MCA Marang sekali lagi dihadapkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Khamis atas cubaan membunuh.

Bagaimanapun tertuduh, Ong Chow Lee, 56,  menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian Teo Hock Beng yang berusia 45 tahun.

Kesalahan itu dilakukan 23 Julai lalu di sebuah bangsal di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang pada jam 1.55 tengah hari.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

BACA: Bekas Ketua Bahagian MCA Marang maut ditembak, anak saudara parah

BACA: Kes tembak bekas ketua bahagian MCA: Cabar-mencabar punca kejadian - Polis

Tembakan | Bekas Ketua Bahagian MCA Marang maut ditembak jiran

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Rabu tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan membunuh dengan menembak mati jirannya, Fong Swee Fuan, 65.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang.

Dalam kejadian itu, Swee Fuan yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang yang cedera di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak saudaranya, Hock Beng parah di dada akibat terkena tembakan sama.