KUALA LUMPUR: Tempahan slot janji temu bagi 1.24 juta dos suntikan vaksin AstraZeneca bagi warga emas mula dibuka hari ini.

Kali ini, sesi berkenaan melibatkan lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di lima buah negeri.

Antara lokasi PPVAZ yang disenaraikan ialah Setia SPICE Convention Centre di Pulau Pinang, Persada Johor International Convention Center (Johor Bahru), Borneo Convention Center Kuching dan Kemahiran Belia Negara Miri (Sarawak).

Di Selangor pula, lokasi yang ditetapkan sebagai PPVVAZ ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dan Ideal Convention Centre (Shah Alam) manakala pusat pemberian vakzin Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilakukan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, kali ini tempahan janji temu vaksin AstraZeneca tidak mendapat sambutan hangat berbanding sebelum ini yang dibuka kepada semua golongan umur.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebelum ini memaklumkan pemberian suntikan bagi pusingan kedua inisiatif ini akan dimulakan pada 7 Jun sehingga 27 Julai.

Orang ramai yang ingin menempah slot janji temu boleh melayari laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.