LANGKAWI: Kadar permintaan dan tempahan yang akan diterima hotel-hotel yang berstatus empat bintang dan ke bawah di pulau peranginan Langkawi dijangka meningkat selepas 19 September ini.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/ Perlis, Razmi Rahmat berkata, sambutan hebat itu dijangka diterima selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Mukim Kuala Kedah selama 14 hari tamat.

Ketika ini, jelas Razmi, tempahan yang diperoleh hotel bertaraf tiga dan empat bintang di Langkawi hanya pada kadar 30 peratus sahaja.

Bahkan, tempat penginapan yang murah dan bajet juga, kata beliau, menerima tempahan pada kadar yang sama.

Perkembangan itu, jelasnya, berlaku disebabkan pelaksanaan PKPD di Kuala Kedah.

"Saya yakin selepas PKPD ditamatkan, feri (yang) lebih banyak (akan) masuk, saya rasa Insya-Allah ada lebih (tempahan) lagi… saya juga ada dengar (laporan berita) bahawa tempahan (feri bagi) esok hari (sebanyak) 600 tiket telah dijual di (Terminal) Kuala Perlis," kata Razmi kepada wartawan ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Dalam masa sama, Razmi berkata, pengoperasian feri dari Terminal Kuala Kedah juga memainkan peranan besar terutama kepada pengunjung yang tidak menggunakan jalan udara.

Ini kerana, kata beliau, terdapat hanya tiga kekerapan sahaja bagi perjalanan feri dari Terminal Kuala Perlis pada hari pertama pembukaan Pulau Langkawi esok (16 September).

Razmi turut memaklumkan, berdasarkan rekod, feri merupakan pengangkutan pilihan terutama melibatkan pelancong berkeluarga untuk bercuti di pulau peranginan itu.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan bahawa pihaknya sentiasa berada dalam siap siaga menjelang hari pembukaan esok khususnya memastikan semua fasiliti serta bilik penginapan sudah disanitasi sepenuhnya.

Selain itu, kata beliau, antara perkara yang juga diberi perhatian serius ialah memastikan kesemua pekerja dalam sektor perhotelan sudah menerima vaksinasi lengkap serta segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi.

Ahad lalu, Razmi memaklumkan bahawa hotel-hotel yang bernaung bawah MAH mula menerima tempahan antara 20 hingga 50 peratus.

Beliau turut difahamkan, beberapa hotel lima bintang yang terletak sekitar Pantai Kok, Datai, Chenang dan Penarak sudah menerima tempahan lebih 50 peratus sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun, hotel-hotel berstatus tiga bintang hanya menerima kadar tempahan sekitar 20 peratus.

BACA: Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian saringan COVID-19, kata Khairy Jamaluddin

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, semua pelancong yang berhasrat bercuti di Langkawi bermula esok perlu menjalani ujian saringan COVID-19.

Ujian pengesanan itu, kata beliau, perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.