Tempoh berkempen yang agak panjang pada pilihan raya umum kali ini memberi peluang kepada parti politik yang bertanding untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat dengan lebih berkesan, kata pemimpin parti di sini.

Menurut mereka, tempoh dua minggu itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan seluruh rakyat menerima dan mengingati semula mesej yang disampaikan mereka sebelum ini.

Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sekalipun ada yang beranggapan tempoh itu agak panjang, Umno dan Barisan Nasional (BN) menganggap ada kebaikan kerana berpeluang memperhebatkan usaha memikat pengundi.

"BN dan Umno khususnya tiada masalah malahan tempoh ini memberi kelebihan untuk kita mendekati pengundi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya umum ke-13 pada 20 April ini dan hari mengundi pada 5 Mei.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata parti berkenaan akan menggiatkan kempen sekalipun jentera pilihan raya telah bergerak sejak setahun lepas.

"Namun tidak dapat dinafikan keadaan ini akan meletihkan jentera apabila tiba hari mengundi," katanya.
Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew pula berkata SPR mempunyai justifikasi tersendiri apabila menetapkan tempoh berkempen yang agak panjang itu.

"Kita akur dan teruskan dengan kempen," katanya.

Sementara itu Pengerusi Parti Keadilan Kedah Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata partinya bersedia mengharungi tempoh berkempen yang agak panjang berkenaan.