Pemuda Barisan Nasional (BN) berpendapat jarak masa dua minggu atau selewat-lewatnya sebulan sebelum pilihan raya umum adalah tempoh paling sesuai sekiranya cadangan menamakan calon-calon BN lebih awal dilaksanakan.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata bukan setiap kawasan bersedia diumum calon awal disebabkan faktor dalaman dan risiko lain yang perlu ditangani terlebih dahulu.

"Nak umum sekalipun jangan umum enam bulan sebelum pilihan raya. Daripada kita umum dua hari sebelum penamaan calon, BN boleh umum dua minggu atau sebulan, itu paling sesuai," katanya.

Menurutnya langkah menamakan lebih awal calon-calon itu juga boleh dilaksanakan terlebih dahulu di kawasan yang dikenal pasti majoriti pengundinya menyokong BN.

Kawasan yang sesuai dipertimbang bagi penamaan itu perlu mempunyai calon yang jelas dan telah diterima masyarakat seperti kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan dan kawasan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh.

Pada 26 Okt lepas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN berkemungkinan akan menamakan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

Mengulas calon dalam kalangan Pergerakan Pemuda Umno, Khairy berkata pergerakan itu ada meminta Najib selaku Pengerusi BN memilih calon daripada pergerakan itu untuk bertanding di bawah panji BN pada PRU Ke-13 nanti.

"Kami minta, tapi kami tak tuntut peratusan atau bilangan berapa ramai calon Pemuda dipilih kerana yang penting kami perlu ada 'winnable candidate' yang dipilih Pengerusi BN (Najib) sendiri bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Senarai Pemuda (Umno) yang sudah diserah kepada Pengerusi BN hanya pusingan pertama, masih ada pusingan kedua dan seterusnya, masih ada tapisan lagi selepas ini. Maka kami tak tahu siapa akan dipilih dalam kalangan Pemuda," katanya.

Beliau berkata pergerakan itu sedang melipat gandakan usaha bagi memastikan empat negeri yang kini diterajui pembangkang akan kembali ke pangkuan BN.

"Usaha kami terkini ialah kami ke depan dengan isu di empat negeri ini. Seperti dalam laporan ketua audit negara banyak kepincanganya dalam negeri pembangkang antaranya skandal Lembah Sireh di Kelantan.

"Pemuda BN di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan perlu tonjolkan semua ini kepada rakyat supaya BN dapat beri tekanan kepada pembangkang dan ceritakan kepada rakyat apa mereka buat kini sebenarnya tidak betul," katanya.