Temu bual khas RTM-Astro AWANI bersama Muhyiddin malam ini

Astro Awani
April 25, 2020 03:40 MYT
Saksikan Temu Bual Khas RTM-Astro AWANI Bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 9 malam ini di TV1 dan saluran 501 Astro AWANI.
Selepas memegang tampuk pentadbiran negara pada 1 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil buat pertama kali dalam temu bual khas bersama RTM dan Astro AWANI.
Temu bual khas 45 minit bersama Perdana Menteri Malaysia Kelapan itu dikendalikan penyampai RTM, Zaleha Khairene Ismail dan penyampai Astro AWANI, Essan Yahya.
Bual bicara khas ini menggali maklumat serta rasional di sebalik keputusan-keputusan sukar yang terpaksa dibuat oleh beliau; keputusan kerajaan dalam menguruskan pandemik global COVID-19, mengimbangi antara keperluan ekonomi negara dan melindungi nyawa serta keselamatan masyarakat.
Sumber Facebook astroawani
Malah, Muhyiddin turut disoal berkenaan konsep normal baharu yang makin meresapi dalam amalan harian rakyat terutama cabaran ekonomi, industri kecil dan sederhana, kesan langsung kepada kebajikan rakyat, hilang pekerjaan dan sebagainya.
Legitimasi atau keabsahan kerajaan Perikatan Nasional, cakap-cakap luar yang berkata ada menteri yang bercuti, teknologi data raya dan e-Kerajaan turut mendominasi perbualan itu.
Ikuti temu bual tersebut di RTM dan saluran 501 Astro AWANI pada pukul 9 malam ini.
#Astro Awani #COVID19 #kerajaan #keselamatan #koronavirus #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #RTM #temu bual khas