KUALA LUMPUR: Sudah lama kita tidak berekreasi, beriadah dan bersukan seperti dahulu. Pandemik COVID-19 menghentikan segala-galanya untuk dua tahun lamanya.

Adapun di celahan waktu itu dibolehkan beraktiviti seketika sebelum dihalang kembali, ia ibarat renjisan air sejuk ke wajah yang panas di bawah terik mentari. Tak begitu dirasai nikmat dan impaknya kepada jasmani dan rohani kita.

Kini nampaknya keadaan sudah semakin mereda. Kes harian pun sudah menurun ke bawah 10,000, kadar vaksinasi juga sudah melebihi 80 peratus, dan kita perlahan-lahan menyusuri fasa baharu endemik dengan berjaga-jaga.

Pembentukan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos tempoh hari menyaksikan kerusi Menteri Belia dan Sukan disandang oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Tidak lama selepas diletakkan tanggungjawab itu pada bahunya, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun itu segera menggerakkan perancangan dan usaha yang telah digaris dan dijalankan oleh kementerian tersebut, terutamanya hal berkaitan aktiviti riadah rakyat di waktu mencabar ini.

Hari Sukan Negara, yang diadakan setiap tahun sejak 2015, tetap diteruskan tahun ini. Sepertimana yang diumumkan beliau bulan lalu, festival sukan nasional itu akan diadakan secara hibrid, dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi terkini untuk memastikan rakyat terus terhubung antara satu sama lain ketika menjalankan kegiatan sukan di mana pun mereka berada.

Hal sukan dan rekreasi adalah bahagian yang amat penting dalam kehidupan kita kerana ia bersangkut dengan kesihatan masyarakat. Sungguhpun terbatas, ia tetap perlu dijalankan demi kesejahteraan tubuh dan minda rakyat Malaysia untuk bangkit dan membina kehidupan yang lebih baik pasca pandemik ini.

Bagaimana pelaksanaan Hari Sukan Negara pada hari Sabtu minggu kedua Oktober ini akan menjadi penanda aras dan batu loncatan kepada pembukaan lebih luas sektor sukan dan rekreasi negara?

Malam ini dalam Agenda AWANI, Ahmad Faizal akan menceritakan dengan lebih lanjut tentang hal itu, serta perancangannya meneraju bidang sukan dan hal ehwal belia pada masa hadapan yang sudah pasti menyentuh aspek pembangunan bakat muda dan perihal Undi18.

Saksikannya 9 malam ini hanya di Saluran 501 dan astroawani.com/live-tv