KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan telah mengarahkan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), untuk melihat kesahihan laporan sebuah portal antarabangsa, mengenai dakwaan ancaman kumpulan Tentera Diraja Sulu (RSA) untuk menyerang Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, biarpun tahap kesahihannya belum dibuktikan, namun beliau tetap memandangnya sebagai perkara yang serius.

Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, Panglima Medan Timur, Panglima Armada Timur dan Panglima Wilayah Udara Dua telah diarah untuk meningkatkan kesiapsiagaan paling tinggi di negeri berkenaan, terutama di Pantai Timur Sabah.

“Sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak, mestilah disahkan secara bebas dan mesti dianggap serius. Saya ikuti kenyataan Ketua Polis Negara dan Komander ESSComm semalam, dan saya juga dah mengarahkan Bahagian Risik ATM untuk beri perhatian kepada laporan yang dibuat,” katanya lagi.

BACA: Tentera Sulu: Perjumpaan 19 'datuk bandar' berkaitan usaha jaga keselamatan - Polis

Tingkat kesiapsiagaan terutama di pantai Timur Sabah

Hishammuddin berkata, buat masa ini, tiada perincian daripada laporan berkenaan yang memerlukan negara membuat tindakan paling drastik.

Selain itu, beliau berkata, rakyat Sabah diminta bertenang dan jangan bimbang, selain perlu melaporkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa dalam usaha mengelakkan insiden serangan di Lahad Datu pada 2013 berulang.

Baru-baru ini South China Morning Post melaporkan, RSA merancang operasi untuk menyerang Sabah selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 orang datuk bandar dari selatan Filipina.

“Seramai 19 datuk bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 orang anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut.

“Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak AS$10,000 telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan,” menurut laporan itu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, beliau akan terus mengukuhkan hubungan diplomasi pertahanan yang erat dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana.

“Dalam perbincangan saya dengan mereka, kita bersetuju dalam bulan Januari ini, kita bertiga akan jumpa dan hidupkan semula Trilateral Indonesia-Malaysia-Filipina (TCA) yang sebelum ini tergendala akibat COVID-19.

“Saya ingatkan mereka, COVID -19 tak bermakna pengganas duduk diam diri. Jadi mereka bersetuju memikirkan cara menangani isu yang telah dilaporkan, dan juga untuk masa hadapan, dan kita akan memperkukuhkan hubungan trilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, khususnya untuk menangani ancaman di Laut Sulu,” katanya lagi.

Hishammuddin berkata, isu mengenai ancaman kumpulan RSA itu telah pun dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet awal hari ini.