Terbuka Thailand: Aaron-Wooi Yik tewaskan juara remaja dunia Indonesia

Astro Arena
Januari 21, 2021 09:28 MYT
Aaron dan Wooi Yik menepati ramalan apabila memperoleh kemenangan mudah 21-12 dalam set pertama. - Foto: StadiumAstro.com
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand kedua selepas menewaskan gandingan juara remaja dunia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.
Aaron dan Wooi Yik, yang merupakan beregu pilihan kelapan kejohanan, menepati ramalan apabila memperoleh kemenangan mudah 21-12 dalam set pertama.
Bagaimanapun, siri unforced-error yang dilakukan kedua-dua pemain itu memperlihatkan betapa mereka bergelut dalam set kedua sebelum tewas 6-21.
Naib juara Kejohanan Seluruh England 2019 itu mula kembali mempamerkan persembahan terbaik mereka dalam set penentuan untuk menamatkan pertarungan selama 38 minit itu dengan kemenangan 21-12.
Menanti mereka dalam suku akhir esok adalah pasangan profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
#beregu lelaki negara #Aaron Chia #Soh Wooi Yik #kejohanan badminton #Terbuka Thailand #juara remaja dunia #Indonesia #leo rolly carnando #daniel marthin #badminton